genre: heritage
title: akitektur melayu #9 (Istana Kenangan, Bukit Chandan, Kuala Kangsar).
medium: watercolor on paper 300gsm (Saunders)
size: 23cm x 31cm
year: 2013
price:sold
|
Istana mempunyai beberapa fungsi. Antaranya ia adalah sebagai pusat penginapan pemerintah dan juga berfungsi sebagai pusat pemerintahan. Tentulah berbagai perkara yang berkaitan telah diambil-kira dalam hal mereka-bentuk istana. Salah satu darinya ialah mencapai reka-bentuk yang dapat memberi perlindungan dari berbagai musuh, dengan kata lain reka-bentuk yang mengutamakan ciri-ciri keselamatan digunakan. Ini termasuklah segala butiran seperti penggunaan bahan binaan untuk pintu, tingkap, kerangka utama dinding dan bumbung dari kayu yang kuat, supaya dapat menangkis senjata-senjata musuh. Istana juga ditinggikan dari aras bumi sehingga mencapai 12kaki, bertujuan mengelakkan dari gangguan binatang buas dan juga bencana alam seperti banjir. Reka bentuk istana ini juga mengambil-kira sudut keugamaan. Umpamanya bentuk pelan bangunan segi empat bujur dengan bahagian dinding terpendek mengadap kiblat supaya senang menentukan arah sembahyang. Pedoman ini juga dapat memenuhi keperluan bangunan bagi mengurangkan pancaran sinar matahari masuk ke dalam bangunan.
Istana Kenangan di Kuala Kangsar, Perak. Terletak di Bukit Chandan lebih kurang 1.5 km dari Pekan Kuala Kangsar. Merupakan sebuah istana yang indah dan unik dari segi reka bentuk dan pembinaannya.Istana ini dibina pada tahun 1908 dan siap pada tahun 1915 ketika pemerintahan Sultan Iskandar. Ia dibina oleh tukang yang bernama Sopian atau dikenali sebagai Tukang Sopian dan keluarganya yang berasal dan Bagan Serai, Perak. Reka-bentuk istana ini menunjukkan satu pencapaian kesenian senibina tradisional yang tinggi nilainya. Mengikut beberapa kajian yang telah dijalankan reka bentuk senibina istana ini dipengaruhi oleh unsur senibina Nusantara yang digabungkan dengan unsur senibina tempatan dengan berkesan dan menarik, sehingga melahirkan sebuah reka bentuk istana yang unggul. Pembinaan bangunan ini tidak menggunakan sebarang paku logam,sebaliknya sekadar bergantung kepada kekuatan susun-atur dan bentuk sambungan tanggam. Kajian tersebut juga menunjukkan istana tersebut diilhamkan dan mempunyai pengaruh dari tanah seberang iaitu Acheh dan Bugis.
Istana ini memiliki beberapa nama dan gelaran sejak ia mula dibina hingga ke hari ini. Antaranya ialah Istana Bunga yang dikaitkan dengan taman di persekitaran istana yang dikelilingi oleh tanaman pelbagai jenis bunga yang menarik. Istana ini juga dikenali sebagai Istana Kerawang memandangkan istana ini dipenuhi dengan pelbagai jenis ukiran kerawang. Pembinaan dinding tepas yang menggunakan kelarai kayu Bertam telah juga mengaitkan nama istana ini dengan nama Istana Tepas. Ukiran pada bahagian papan tumpu kasau dan papan cantik yang begitu ketara sehingga terkenal keseluruh negeri sebagai sebuah istana yang dipenuhi dengan ukiran yang cantik.Istana ini juga turut dikenali sebagai Istana Kuning mengambil sempena warna kuning yang dicatkan pada luar dan dalam istana. Warna kuning adalah warna lambang kebesaran dan kedaulatan diraja. Selepas beberapa waktu Istana Kuning ini mejadi terkenal pula dengan gelaran Istana Lembah yang dikaitkan dengan kedudukannya di satu kawasan tanah lembah di kaki bukit dan mempunyai pemandangan persekitaran yang indah. Istana ini akhirnya dinamakan dan dikenali ramai sebagai Istana Kenangan yang banyak memberi kenangan manis kepada raja dan seluruh rakyat negeri Perak sebelum sultan berpindah dan bersemanyam di Istana Besar yang terletak beberapa meter sahaja daripada istana Kenangan. Kini istana yang menyimpan pelbagai kenangan menjadi sebuah Muzium negeri Perak yang terkenal.
Istana Kenangan yang asalnya terdiri daripada dua tingkat. Tingkat Bawah yang berdinding digunakan sebagai ruangan pejabat. Ruang dan bilik diraja telah diubahsuaikan dan dinding-dinding tersebut telah ditanggalkan. Tingkat Atas pula digunakan sebagai kediaman resmi dan ruang balai. Istana ini turut dilengkapi dengan loteng untuk menyimpan khazanah diraja dan pelbagai jenis senjata. Beberapa pengubahsuaian telah dilakukan pada bahagian istana ini bagi menyesuaikan dengan suasana dan kegunaan baru disamping memastikan istana ini terus kekal menjadi bangunan warisan bangsa yang penting.
Pelan bangunan istana ini berbentuk segi empat bujur dengan ukuran 120kaki panjang dan 40kaki lebar. Tingkat atas istana dibahagikan kepada beberapa ruang seperti ruang santapan, bilik-bilik tidur, bilik mandi, ruang istirehat, bilik beradu, bilik menunggu dan balairong seri. Ruang santapan yang terletak dihujung bangunan mempunyai bentuk oktagon dan dapat menampung sehingga 20 orang serentak. Ruang ini ditutupi oleh bumbung yang berbentuk kon lapan segi mengikut bentuk pelan lantai. Ruang ini juga mempunyai 7 tingkap, satu tingkap pada setiap segi dinding untuk pencahayaan dan peredaran udara di samping itu setiap pembukaan mempunyai kerawang. Bilik santapan pula dihubungkan ke ruang istirehat, tandas, bilik mandi, bilik-bilik putera dan bilik beradu diraja. Bahagian-bahagian ini dapat dikenali kerana bentuk pelannya yang melintang garisan memanjang paksi istana tersebut, ditegaskan lagi dengan reka bentuk dinding dan bumbung yang berbeza.
Pembinaan istana ini mengambil masa yang agak lama iaitu 7 tahun termasuk proses pemilihan kayu balak yang sesuai, memotong dan menariknya ke tapak pembinaan yang terletak agak jauh daripada hutan. Walaupun kerja-kerja ini telah dibantu oleh binatang seperti gajah namun begitu masa yang diambil agak lama juga. Struktur utama istana menggunakan kayu Cengal dan Merbau yang dipilih dari kayu balak yang berusia 100 tahun ke atas dan dibawa dari hutan Grik. Kayu balak itu dibelah dijadikan kayu blok dan dikeringkan, kemudian disamak atau direndam dengan ramuan organik khas yang dipilih dari tumbuhan dan campuran kulit supaya kayu tahan lama. Setelah dikeringkan ia akan disusun dan dijaga dari berbagai pengaruh iklim dan setelah betul-betul bersedia untuk digunakan barulah ia dipotong, diketam atau dibentuk seperti yang dikehendaki.
Dinding yang dinamakan 'tepas' telah digunakan di dalam bangunan ini. Dinding tepas diperbuat danpada kayu Bertam. Kayu Bertam ini dibelah-belah dan dianyam atau disisip menjadikan kepingan tepas. Air hujan tidak dapat menembus anyaman ini kerana keistimewaan ciri-ciri bahan Bertam itu sendiri. Mengikut keterangan tukang, apabila air atau hujan terkena kulit Bertam pada dinding anyamannya ia akan mengembang dan menjadi bertambah berat. Dengan itu, air tidak dapat menembusi dinding tersebut. Dinding tepas ini juga mempunyai keistimewaan lain. Dikatakan ia dapat menahan senjata-senjata seperti lembing, panah, keris dan lain-lain. Ini adalah kerana dinding Bertam dapat memantul balik senjata, dengan itu senjata-senjata itu tidak dapat menembus dinding tersebut. Untuk memperkuatkan ketahanan dinding dari ditembusi senjata setiap bahagian dinding telah dipasang dengan tiga lapis dinding Bertam tersebut. Istana ini menggunakan papan lantai yang tebal bukan sahaja untuk menampung beban tetapi juga untuk mempastikan tahap keselamatan yang terjamin seperti dapat mengelakkan tembusan sebarang senjata. Disamping itu pembinaan khas lantai kalis air digunakan pada bahagian lantai bilik mandi di dalam istana. Kaedah yang digunakan bagi pembinaan lantai kalis air ialah menggunakan getah damar. Caranya ialah pada setiap sambungan lantai yang menggunakan tanggam temu telah dimasukkan bahan-bahan penampal seperti getah yang diambil daripada resin pokok-pokok Gina untuk penampalan setiap renggangan. Apabila air menyentuh penampal ini ia akan mengembang dan menutup setiap renggangan yang ada. Konsep pembinaan ini telah diilhamkan daripada pembinaan perahu-perahu orang Melayu. Teknik yang sama juga telah digunakan dalam pembinaan lantai bilik air istana ini. Tingkat bawah pula mempunyai lantai yang diperbuat daripada papan kayu yang berkilat. Ruang- ruang ini digunakan sebagai pejabat diraja. Namun begitu lama-kelamaan bahagian ini telah reput kerana ia terletak terus ke paras tanah, dan kini hanya kelihatan tiang-tiang dan lantai yang sudah dibina semula dengan bahan konkrit.
Istana ini mempunyai beberapa gabungan reka bentuk bumbung. Bumbung yang menutupi dewan santapan mempunyai bentuk kon lapan segi. Ruang istirehat, bilik beradu dan bilik air mempunyai bumbung panjang yang digabung dengan bumbung separuh kon dan bumbung bertingkat di atas untuk menutupi bilik loteng. Bilik-bilik lain mempunyai bumbung lima dengan bumbung bertingkat untuk loteng. Sebaliknya balairong seri hanya mempunyai penutup bumbung panjang biasa. Bahan penutup bumbung adalah dari kayu Jati yang dikatakan dibawa masuk dari negara Siam untuk pembinaan atap Istana ini. Kayu Jati ini mempunyai beberapa keistimewaan di dalam pembinaan bangunan. Kayu ini dikatakan mengeluarkan sejenis cecair seperti getah atau gam apabila ia terkena panas matahari. Cecairnya akan mengembang dan menutup setiap kerenggangan yang terdapat pada sambungan kepingan genting kayu Jati itu. Apabila hujan ia akan membekukan getahnya dan menutupi renggangan di antara sambungan dan menjadikan atap lebih kalis air dan tidak mudah bocor.
This article is a
reference from the book titled 'SENIBINA MELAYU' written by Dr Zulkifli
Hanafi and Ahmad Yahaya Zakiilulfuad. The book is in Malay.